Wednesday, April 28, 2010

Pemergian yang tak diduga

Tatkala menulis post ini, ada terasa sebak di hati. Baru-baru ini pada tanggal 9 April 2010, seorang sahabat saya telah pun kembali ke rahmatullah, menyahut seruan Ilahi. Beliau adalah Allahyarham Shah Farin Bin Manzor Husin Shah a.ka Yen. Allahyarham merupakan sahabat saya di kala sekolah menengah dulu. Hmm. Dia seorang yang sangat ceria, suka melawak, mengusik rakan-rakan dan pendek kata dia memang seorang yang cukup peramah. Sesungguhnya, pemergiannya amat dirasai oleh kami yang menjadi sahabatnya.

Pemergiannya tanpa diduga. Beliau sempat mengusik, melawak, menyakat saya beberapa hari sebelum dia pergi buat selama-lamanya. Terkedu, terduduk,tergamam seketika tatkala mendapat pesanan sms dari seorang rakan baik (ija) yang memberitahu bahawa allahyarham telah pun tiada, telah pergi meninggalkan kami semua tanpa pesan. Beberapa kali saya beristigfar, benarkah berita yang baru saya terima itu? adakah ini semuanya permainan? Namun, bila sudah berada dalam keadaan sedar, perkara kematian bukan sesuatu yang boleh dibuat main-main. Saya juga ada bertanyakan kepada rakan-rakan yang lain dan sahlah allahyarham telah pun pergi buat selama-lamanya.

Pada ketika itulah, hati berasa sungguh sebak,tak dapat nak digambarkan. Air mata mengalir laju. Sesungguhnya, berita itu amat mengejutkan. Terasa kehilangannya. Allahyarham dikatakan telah mati lemas di sungai di sungai perak, dan hilang, di jumpai pada petang keesokkan harinya dalam keadaan telah pun kembung dan berbau. Ya Allah Ya Tuhanku, tiada siapa pun yang ingin pergi dalam keadaan seperti itu tapi inilah takdir yang telah ditentukan olehMu kepadanya.

Berita kematiannya juga punyai banyak versi cerita. Ada kata dia terjatuh sungai kemudiannya lemas, ada yang kata dia dipukul kemudian mungkin dibuang ke sungai. Entahlah, saya tidak berani atau mahu mengulas apa-apa. Apa yang terjadi itu biarlah ianya menjadi rahsia antara arwah dengan Allah. Seingat saya arwah memang pandai berenang. Hanya Allah yang Maha Mengetahui.
Teringat lagi arwah hendak sangat buat reunion bersama kawan-kawan sekolahnya. Teringat lagi arwah berbincang dengan rakan-rakan yang lain di laman Facebook, berbincang ke mana hendak pergi dan sebagainya. Teringat lagi arwah begitu beriya-iya hendak berjumpa dengan rakan-rakan yang lain namun impiannya hendak reunion bersama rakan-rakan untuk bergelak ketawa,berkongsi cerita dan sebagainya tidak kesampaian. Apa yang jadi akhirnya seperti reunion juga apabila begitu ramai rakan-rakan yang datang pada hari pengebumiannya. Ramai yang tidak percaya dengan pemergiannya. Ada yang tidak mampu menahan dari airmata dari mengalir. Saya berasa amat terkilan kerana tidak dapat hadir di hari pengebumiannya. Sesungguhnya sepanjang hayatnya,arwah sangat-sangat baik, peramah, menceriakan kehidupan orang lain dengan lawak jenakanya, gurauannya.


Post ini ditulis bukan sahaja untuk mengingatinya tapi dalam masa yang sama terasa sebak sangat-sangat apabila arwah tidak dapat menyambut hari lahirnya yang ke-24 pada 29 April ini ( iaitu esok). Allah lebih menyayangimu yen. Hanya doa, sedekah al-fatihah dan lain-lain dapat ku pohon untukmu di sana. Semoga rohmu dicucuri rahmat, dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Allah lebih menyayangimu. Walaupun dikau telah pergi buat selama-lamanya namun dikau masih di hati kami semua..sahabat-sahabatmu..
Allahyarham Shah Farin a.k.a Yen









* sangat sebak apabila mendengar lagu nyanyian aizat: pergi *













































































No comments: