Friday, October 30, 2009

Serlahkan Senyuman Si Dia...


Sukar membuatkan si dia tersenyum? Ikuti beberapa tip mudah yang membolehkan si dia tidak lokek melemparkan senyuman.


SENYUMAN itu sedekah. Kata-kata itu sudah cukup menggambarkan betapa senyuman itu hadiah berharga yang paling mudah untuk diberikan. Tidak perlu membahaskan ucapan panjang sebaliknya ukiran manis di bibir itu sudah cukup menceriakan sanubari insan.



Namun, bagaimana pula sekiranya si dia begitu terkenal dengan sikap lokek senyuman? Apakah yang anda rasai setiap kali menatap wajahnya yang masam atau moody itu?



Malah, kepayahan si dia menghulurkan senyuman membuatkan anda berasa malu dengan rakan-rakan setiap kali keluar bersama.


Mungkin banyak harapan dan persoalan ingin diajukan kepadanya tetapi anda berasa takut untuk menjelaskan ketidakpuasaan hati itu, bukan?



Suara rendah


Terdapat pelbagai cara untuk anda memberitahu dirinya agar sentiasa murah dengan senyuman. Apa yang perlu anda tahu ialah lelaki begitu sensitif terhadap isyarat badan seorang wanita.


Bertentang mata dengannya, menggunakan intonasi suara yang rendah, melakukan usapan lembut pada rambutnya dan sentiasa melemparkan senyuman walaupun dalam keadaan marah antara perkara yang mampu membuatkan si dia tersenyum.


Walaupun senyumannya hanya mengambil masa beberapa saat, hal ini akan menjadi satu kejutan buat diri anda. Ini kerana, si dia tidak menyangka yang anda mampu melakukan 'serangan' sebegitu rupa sehingga berjaya mengubah emosinya.



Kirim SMS


Sikapnya yang kedekut senyuman membuatkan anda terpaksa mengubah perangainya. Sekiranya anda sukar meluahkan menerusi ucapan, apa kata anda cuba memberitahunya melalui penghantaran sistem pesanan ringkas (SMS).


Senaraikan ketidakpuasan hati anda itu dengan penggunaan ayat yang jelas. Nyatakan juga sebab anda terpaksa melakukan sedemikian. Mungkin dengan cara itu, si dia dapat menerima segala permintaan anda dan belajar melemparkan senyuman setiap kali bersama anda mahupun rakan-rakan anda.


Dapatkan kepastian


Tanyalah tentang sesuatu perkara yang dia amat mengetahuinya. Contohnya, pasukan bola sepak yang digemarinya, mahupun jenis kereta. Ini kerana, lelaki mudah menguasai perkara-perkara sebegitu berbanding wanita. Lakukan seolah-olah dia seorang yang pakar dalam bidang tersebut. Kemudian, barulah anda meminta kepastian mengenai masalah yang dihadapinya.


Tanyakan kepadanya adakah senyuman itu mampu memberi kesan terhadap tingkah laku dan peribadinya? Sekiranya tidak, kenapa senyuman itu tidak diterjemahkan dengan sebaik-baiknya. Mungkin dengan persoalan anda itu, anda berjaya memperoleh jawapan yang dikehendaki selama ini.



Berikan pujian yang berasas


Memuji dirinya mengenai kelucuan atau kepintaran yang dia miliki selama ini sedikit sebanyak membantu anda mengubah emosinya yang lokek senyuman.


Cara ini mampu membuatkan si dia sedar dengan kelemahan diri sendiri dan terfikir untuk mengenalpasti kekurangan yang dihadapinya.


Tapi ingat, pujian yang tidak berasas mampu membuatkan dirinya mudah tersinggung.



Buat kejutan


Anda sudah ketandusan idea? Apa kata kali ini anda melakukan satu kejutan seolah-olah menandakan anda begitu mengharapkan senyuman daripadanya.


Caranya, hadiahkan kepadanya beberapa keping gambar kartun atau karikatur yang menggambarkan orang sedang tersenyum. Biarkan dia memikirkan sendiri apakah motif utama seni lukisan atau gambar yang dikirimkan itu. Langkah sebegini mampu membuatkan dirinya tersenyum sendirian

No comments: