assalamualaikum..
setelah berbulan2 menghilangkan diri, tak online,kini daku kembali. Kembali dengan penuh harapan, cabaran dan macam2 lagi. Jujur,diri ini masih lagi bersedih dengan kehilangan arwah bapa yang amat disayangi baru2 ini namun ku teruskan juga hidup ini dengan tabah.
Kembalinya ili membawa harapan yang cukup tinggi, semoga diri ini cukup kuat untuk meneruskan hidup dengan mengumpul bekalan amalan yang banyak apabila tiba masanya nanti..
untuk arwah bapak, akish sangat2 sayangkan bapak..ibu dan zharif pun macam tu jugak. kami semua amat terasa dengan pemergian bapak.. Semoga rohmu dicucuri rahmat, dan ditempatkan di kalangan para solihin dan orang2 yang beriman dan dimasukkan ke syurga firdausMu... Allah lebih menyayangimu. Hanya doa, sedekah serta amalan2 kami dapat ku pohon untukmu di sana. Al-Fatihah.
Thursday, September 30, 2010
Wednesday, April 28, 2010
Pemergian yang tak diduga
Tatkala menulis post ini, ada terasa sebak di hati. Baru-baru ini pada tanggal 9 April 2010, seorang sahabat saya telah pun kembali ke rahmatullah, menyahut seruan Ilahi. Beliau adalah Allahyarham Shah Farin Bin Manzor Husin Shah a.ka Yen. Allahyarham merupakan sahabat saya di kala sekolah menengah dulu. Hmm. Dia seorang yang sangat ceria, suka melawak, mengusik rakan-rakan dan pendek kata dia memang seorang yang cukup peramah. Sesungguhnya, pemergiannya amat dirasai oleh kami yang menjadi sahabatnya.
Pemergiannya tanpa diduga. Beliau sempat mengusik, melawak, menyakat saya beberapa hari sebelum dia pergi buat selama-lamanya. Terkedu, terduduk,tergamam seketika tatkala mendapat pesanan sms dari seorang rakan baik (ija) yang memberitahu bahawa allahyarham telah pun tiada, telah pergi meninggalkan kami semua tanpa pesan. Beberapa kali saya beristigfar, benarkah berita yang baru saya terima itu? adakah ini semuanya permainan? Namun, bila sudah berada dalam keadaan sedar, perkara kematian bukan sesuatu yang boleh dibuat main-main. Saya juga ada bertanyakan kepada rakan-rakan yang lain dan sahlah allahyarham telah pun pergi buat selama-lamanya.
Pada ketika itulah, hati berasa sungguh sebak,tak dapat nak digambarkan. Air mata mengalir laju. Sesungguhnya, berita itu amat mengejutkan. Terasa kehilangannya. Allahyarham dikatakan telah mati lemas di sungai di sungai perak, dan hilang, di jumpai pada petang keesokkan harinya dalam keadaan telah pun kembung dan berbau. Ya Allah Ya Tuhanku, tiada siapa pun yang ingin pergi dalam keadaan seperti itu tapi inilah takdir yang telah ditentukan olehMu kepadanya.
Berita kematiannya juga punyai banyak versi cerita. Ada kata dia terjatuh sungai kemudiannya lemas, ada yang kata dia dipukul kemudian mungkin dibuang ke sungai. Entahlah, saya tidak berani atau mahu mengulas apa-apa. Apa yang terjadi itu biarlah ianya menjadi rahsia antara arwah dengan Allah. Seingat saya arwah memang pandai berenang. Hanya Allah yang Maha Mengetahui.
Teringat lagi arwah hendak sangat buat reunion bersama kawan-kawan sekolahnya. Teringat lagi arwah berbincang dengan rakan-rakan yang lain di laman Facebook, berbincang ke mana hendak pergi dan sebagainya. Teringat lagi arwah begitu beriya-iya hendak berjumpa dengan rakan-rakan yang lain namun impiannya hendak reunion bersama rakan-rakan untuk bergelak ketawa,berkongsi cerita dan sebagainya tidak kesampaian. Apa yang jadi akhirnya seperti reunion juga apabila begitu ramai rakan-rakan yang datang pada hari pengebumiannya. Ramai yang tidak percaya dengan pemergiannya. Ada yang tidak mampu menahan dari airmata dari mengalir. Saya berasa amat terkilan kerana tidak dapat hadir di hari pengebumiannya. Sesungguhnya sepanjang hayatnya,arwah sangat-sangat baik, peramah, menceriakan kehidupan orang lain dengan lawak jenakanya, gurauannya.
Post ini ditulis bukan sahaja untuk mengingatinya tapi dalam masa yang sama terasa sebak sangat-sangat apabila arwah tidak dapat menyambut hari lahirnya yang ke-24 pada 29 April ini ( iaitu esok). Allah lebih menyayangimu yen. Hanya doa, sedekah al-fatihah dan lain-lain dapat ku pohon untukmu di sana. Semoga rohmu dicucuri rahmat, dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Allah lebih menyayangimu. Walaupun dikau telah pergi buat selama-lamanya namun dikau masih di hati kami semua..sahabat-sahabatmu..

* sangat sebak apabila mendengar lagu nyanyian aizat: pergi *
Friday, March 5, 2010
Anjing Kurap yang Tak Bertuan
Post ini bukan ditujukan untuk sesapa... Sekadar melepas rasa marah, ketidakpuasan hati terhadap haiwan kurap yang satu ini di lorong kawasan perumahanku.. Apa perasaan anda apabila depan kawasan rumah anda yang bersih tiba-tiba dicemari dengan longgokan najis daripada haiwan yang satu ini?? Apa anda semua rasa?
Bayangkan anda balik dari kerja penat-penat pada waktu petang mahupun di waktu pagi sewaktu nak pergi kerja atau mana-mana pun, anda ternampak longgokan 'baik punya' menanti anda di depan rumah, apa anda rasa? Mesti marah+tension+bengang+rasa nak mengamuk pun ada kan.. Ni la masalah yang melanda... Saban hari menjadi part timer buang longgokan tu... Siap pakej rangsangan bau pulak tu... Siap nak termuntah2 lagi, letak minyak cap kapak sampai pedih hidung pun bau benda tu still kuat *geram siot*
tertekan tengok hari-hari macam ni..
~ sekadar melepaskan rasa marah ~
Apa perasaan anda apabila anda terpaksa membuangnya tak kira la apa cara sekalipun? Kalau sekali melepas tu boleh la sabar la (walaupun sebenarnya tak sabar pun), tapi ni hari-hari haiwan kurap yang satu ini melepas kat depan rumah, tak depan rumah saya, mesti depan rumah jiran sebelah.. Dahlah kami ni dua-dua orang melayu... Sebelah-menyebelah.... Hari-hari kami berhadapan dengan masalah yang sama... Larat ke kami nak buang hari2?
Bayangkan anda balik dari kerja penat-penat pada waktu petang mahupun di waktu pagi sewaktu nak pergi kerja atau mana-mana pun, anda ternampak longgokan 'baik punya' menanti anda di depan rumah, apa anda rasa? Mesti marah+tension+bengang+rasa nak mengamuk pun ada kan.. Ni la masalah yang melanda... Saban hari menjadi part timer buang longgokan tu... Siap pakej rangsangan bau pulak tu... Siap nak termuntah2 lagi, letak minyak cap kapak sampai pedih hidung pun bau benda tu still kuat *geram siot*
Jiran sebelah mencadangkan macam-macam agar haiwan kurap yang satu ini tidak lagi melepaskan apa-apa lagi di depan rumah kitaorang... Still memikirkannya lagi... Walau pun dalam keadaan marah tapi still ada sifat perikemanusiaan... Tapi tak tau sampai bila tahap kesabaran ni boleh bertahan lagi... Bukan apa,rumah orang melayu ni... Kita pun tau haiwan ni bukan tau apa pun tapi sampai bila?
Tak tau apa cara nak buat agar haiwan kurap yang satu ni takda lagi di sini.... Tension... *huh*tertekan tengok hari-hari macam ni..
~ sekadar melepaskan rasa marah ~
Thursday, February 25, 2010
Mengamalkan Diet Yang Betul!

Anda remaja yang mempunyai masalah berat badan? Masalah berat badan sering menyebabkan remaja kurang berkeyakinan dan berasa rendah diri. Keinginan para remaja untuk tampil cantik dan bergaya pasti diidamkan oleh semua anak muda.
Namun ramai remaja sekarang ini tidak tahu bagaimana cara terbaik untuk berdiet dan mengawal pemakanan mereka. Lebih menyedihkan mereka mengambil jalan singkat dengan memilih pil diet yang mampu menjejaskan kesihatan.
Ada juga remaja yang terikut2 rejim diet yang ketat sehingga mengakibatkan mereka mengalami penyakit seperti anoreksia dan bulimia.
Cara terbaik untuk menurunkan berat badan adalah dengan gabungan penjagaan pemakanan dan juga senaman yang teratur. Bagi mereka yang ingin mengurangkan kilogram pada berat, sediakan beberapa tip khas untuk remaja.
Minum banyak air
◘ Anda harus mengamalkan minum air kosong sekurang-kurangnya 8 gelas sehari(lebih dari itu lagi okay). Seeloknya bawalah air masak anda sendiri setiap kali pergi ke sekolah,tempat pengajian,pejabat mahupun keluar bersiar2.
Diet buah-buahan dan sayuran
◘ Anda digalakkan makan banyak buah-buahan dan membiasakan diri memilih sayuran sebagai salah satu lauk dalam hidangan setiap kali makan. Mulai sekarang jadikanlah ia sebagai hidangan wajib setiap hari...(ingat tu wajib!) :)
Lebihkan pengambilan bijirin
◘ Bijirin penuh amat baik untuk kesihatan. Ia mengandungi gentian, vitamin B, zat besi, mineral, vitamin E dan nutrien fito. Pengambilanh sarapan seperti bijirin amat baik dalam meningkatkan daya kecerdasan minda.
Kurangkan minuman bersoda
◘ Remaja sememangnya menggemari minuman bersoda. Tahukah anda setin minuman soda mengandungi 8 sudu teh gula iaitu melebihi keperluan pengambilan gula sehari bagi wanita iaitu 6 sudu teh bersamaan 100 kalori atau 9 sudu teh gula bagi lelaki bersamaan 150 kalori. (hmmm..fikir-fikirkan lah yer sebelum nak minum tu... banyak sangat tu gula untuk setin)..
Menimbang berat badan setiap minggu
◘ Apabila menimbang berat setiap minggu,anda akan tahu perkembang berat anda. Tak payah timbang hari-hari,cukuplah skali atau dua dalam seminggu. Ia membantu dalam usaha untuk menurunkan berat badan.
Tentukan tahap kelaparan
◘ Sebelum membuat keputusan untuk makan, tentukan sama ada anda benar-benar lapar atau hanya sekadar memenuhi permintaan rakan untuk menemaninya makan bersama. Ia akan menyebabkan anda mengambil makanan melebihi daripada keperluan.
Prihatin dengan makanan
◘ Jika ada peluang, luangkan masa untuk menigira jumlah kalori makanan yang diambil pada setiap hidangan. Anda boleh layari Internet dan mendapatkan informasi mengenai jumlah kalori terhadap makanan di Malaysia. Ini boleh mengelakkan anda mengamalkan diet yang salah.
* Sebagai contoh, ramai mengelak untuk mengambil nasi dan menggantikan dengan roti putih. Tahukah anda kalori empat keping roti bersamaan dengan sepinggan nasi?
Elakkan makan malam
◘ Seboleh-bolehnya elakkan makan malam selepas pukul 8. Sekiranya anda lapar, makanlah biskut dengan air panas seperti air coklat. Jadilah lebih prihatin dengan apa yang anda makan dan pilihlah makanan yang sesuai.
Jangan biarkan diri kelaparan
◘ Jika anda fikir dengan menahan lapar itu salah satu dari diet,anda salah. Menahan lapar bukanlah sesuatu yang bagus untuk menurunkan berat badan. Tahukah anda menahan kelaparan boleh mengakibatkan tahap metabolisme badan anda rendah dan ini akan melambatkan proses pembakaran lemak?
Bersenam
◘ Inilah perkara yang paling penting dalam menurunkan berat badan anda iaitu dengan bersenam (bersenam okay).. Bersenam sebenarnya boleh membakar setiap kalori makanan yang diambil. Pastikan anda mengamalkan gaya hidup yang sihat dengan melakukan senaman yang ringkas.
* Sebagai contoh,elakkan menggunakan lif sebaliknya gunakan tangga.. Begitu juga jika hendak ke kedai, naiklah basikal ataupun berjalan kaki..
Selamat mencuba!
Wednesday, February 10, 2010
Belajar Menerima Pandangan Orang Lain

yeahh!! Baru hari ini nak mengupdatekan blog setelah sekian lama menyepi...ala² iklan 'berehat sebentar bersama kit kat' gitu (macam 2la agaknya..tak ke lama sangat tu..heh) apa² je la kan..
okay la untuk post kali ni nak bersembang pasal macam mana kita nak belajar menerima pandangan orang lain...Ada yang kata senang,ada yang kata susah,ada yang kata macam senang jer dan ada juga yang kata bila nak buat baru terasa susah...
Manusia yang lemah hanya kerana mereka mementingkan diri sendiri...Bagi mereka,pandangan orang lain belakang kira,jangan ambil tahu dan langsung tidak diendahkan.. Salah satu jenis pentingkan diri ni adalah tidak mahu mendengar suara(pandangan)orang di sekitar..Apa yang mahu dia dengar ialah suara² nafsu serta keinginannya sahaja, walaupun kadangkala ianya akan menyebabkan orang lain menderita kerana sikap pentingkan dirinya itu..(tak baik tu...)
Nabi Sulaiman a.s sebagai contoh,sanggup mendengar suara serta pendapat luar walaupun hanya daripada seekor burung hud² mengenai kerajaan Saba'.
Begitu juga Nabi Muhammad s.a.w yang sanggup mendengar pendapat dan pandangan para sahabat,kemudian bersama² berfikir mengenai cadangan dan yang terakhir melaksanakan kata sepakat/kesimpulan yang telah dipersetujui bersama... Bukankah itu memberikan kejayaan?Fikirkan lah...
Sekiranya kita hendak menyelami hati seseorang, kita mestilah mendengar dahulu suara mereka dan semestinya kita haruslah menjadi PENDENGAR yang baik.
Antara suara2 yang perlu kita dengar dalam kehidupan seharian adalah:
1. Suara mereka yang dekat dengan kita contohnya seperti suara hati ibu bapa,suami,isteri,anak2,adik beradik,teman dan sahabat kita.
Luangkan masa untuk mendengar sama ada ianya berbentuk pujian ataupun teguran.Tunjukkan wajah dan ada tindak balas.
Seboleh2nya hindarilah wajah yang dingin(masam mencuka dan sebagainya) kerana ianya akan melukakan mereka yang sedang berkomunikasi(sama ada meluahkan perasaan,bertanyakan pendapat dan lain2)dengan kita. Banyak orang akan suka apabila ceritanya didengari .
2. Suara lawan.Suara lawan memang sukar untuk diterima malah kadang2 ianya disambut dengan lawan juga.
Bagi mereka yang bijaksana,suara lawan ini sebenarnya sangat berharga. Melalui kritikan mereka inilah kita boleh mengetahui kelemahan,salah silap dan sebagainya dan membolehkan kita memperbaikinya untuk masa akan datang.
Bak kata bijak pandai "apabila lawan kita menceritakan aib kita,sebenarnya kita patut berterima kasih kerana dia begitu mengambil berat ,bersusah meluangkan masa dan fikirannya mengenai kita".
Cuba kita fikirkan,berapa banyakkah waktu yang kita pernah gunakan untuk memperbetulkan dan muhasabah diri kita?
Oleh itu,mulai sekarang marilah kita mendengar,bukan sahaja kata2 tetapi juga perasaan mereka yang berada di sekeliling mereka...InsyaAllah, mereka juga akan tetap melakukan perkara yang sama....
Friday, November 13, 2009
Tips Mempertahankan Diri

Sebagai remaja terutamanya wanita,mereka selalunya terdedah dengan ancaman bahaya ketika berada di luar rumah.
Mereka sering menjadi sasaran perogol,perompak atau penculik.
Terdapat beberapa tips mudah untuk mengelakkan diri daripada situasi bahaya tersebut.
Umumnya, idea terbaik adalah dengan menggunakan akal fikiran. Malangnya, ia mungkin tidak memadai.
Sebagai wanita,penting jika mereka tahu cara² untuk mempertahankan diri. Walaupun tenaga wanita tidak sekuat lelaki,memadai jika mereka tahu apa yg perlu dilakukan ketika diri diancam bahaya.
Berikut adalah tips yang boleh digunakan untuk mempertahankan diri.
JERIT SEKUAT HATI
◘ Apabila anda berasa kurang selamat, apa yg perlu anda lakukan adalah menjerit sekuat hati. Ini akan membuatkan penjenayah tersebut panik dan merasa was² untuk menyerang anda.
◘ Jika penjenayah mengacukan senjata seperti pisau atau pistol ke arah anda dari dalam kereta, lari jau dari kenderaan itu dan pada masa yang sama menjerit. Ini mungkin akan membuatkan penjenayah melarikan diri.
GUNAKAN KEKUATAN TANGAN
◘ Jika penjenayah menghampiri anda, genggam kedua² belah tangan dengan sekuat hati dan tumbuk bertubi² pada muka penjenayah.
◘ Anda juga perlu bertindak segera dengan menendang kemaluan penjenayah atau titik² yang boleh melemahkan diri seperti mata dan lutut.
◘ Jangan perhatikan satu bahagian tubuh penjenayah sahaja. Sebaliknya lihat secara menyeluruh dan perhatikan mana² bahagian yang boleh diserang. Sebagai contoh, jika penjenayah memakai subang, tarik subangnya sekuat hati.
Apabila penjenayah tunduk kesakitan, anda boleh lari sambil meminta pertolongan.
TEKNIK 'KUNCI KAKI'
◘ Jangan sesekali membuka kaki lebih luas jika berdepan dengan penjenayah. Ini memberi peluang kepada mereka untuk menjatuhkan anda.
◘ Jika anda sedar ada dinding berhampiran, sasarkan penjenayah ke arah dinding dan humbankannya.
JANGAN PANIK
◘ Gunakan apa sahaja objek yang ada di sekeliling anda untuk mencederakan penjenayah.
◘ Sekiranya anda sedang berjalan, jangan berkelakuan seolah² anda mudah menjadi sasaran seperti berjalan sambil tunduk ketakutan dan sebagainya. Tampilkan diri sebagai seorang yang berani.
◘ Usah pakai barang kemas yang terlalu menonjol untuk mengelak perhatian penjenayah.
◘ Sekiranya bertarung dengan penjenayah, elakkan membuat tendangan atau tumbukan dalam keadaan panik atau menutup mata.
◘ Cuba tenangkan diri dan fikir apa yang harus anda lakukan.
PENYEMBUR MATA
◘ Paling penting, sediakan pewangi semburan(dalam botol kecil) atau semburan lada setiap masa di dalam beg tangan anda. Ancaman bahaya boleh datang pada bila² masa. Justeru, sentiasalah membuat persediaan.
GUNAKAN APA JUA OBJEK
◘ Gunakan apa saja objek di sekeliling untuk mencederakan penjenayah. Sama ada kunci kereta, kasut,batu,kayu,payung dan sebagainya. Anda juga boleh bersedia dengan kunci kereta saat memasuki tempat letak kereta.
JANGAN MUDAH MENYERAH KALAH
◘ Jika masih dalam keadaan sedar, lawan dan serang balik. Jangan sesekali menyerah kalah. Salurkan seluruh tenaga pada tangan dan kaki anda untuk mengelakkan anda dicederakan.
Wednesday, November 11, 2009
Lelaki bergosip?

Kajian dapati gosip di kalangan lelaki hanya sekadar selingan ketika berbual bersama rakan
GOSIP. Istilah ini cenderung dikaitkan dengan dunia showbiz. Mengapa begitu? Sedangkan perbualan mengenai cerita atau skandal ahli politik, pemain bola sepak atau individu terkenal juga berbau gosip. Cuma mungkin ia tidak digelar gosip tetapi lebih kepada sembang-sembang atau borak kosong.
Gosip boleh ditafsirkan sebagai perbualan yang mempunyai nilai, menyentuh perihal atau peribadi seseorang yang tidak berada di tempat perbualan. Gosip biasanya timbul melalui sesi borak-borak bersama rakan.
Definisi pengkaji psikologi terhadap gosip tidak mengklasifikasikan perbuatan ini hanya membabitkan kritikan atau memperkecil-kecilkan orang lain. Kajian yang dilakukan sebelum ini menunjukkan, kritikan dan penilaian negatif hanya membentuk sebahagian kecil daripada perkara yang sering menjadi bahan gosip.
Kebanyakan perbualan gosip berkisar cerita seseorang yang dikaitkan dengan individu lain serta pengalaman sosial yang dilalui seseorang.
Penilaian yang dibuat dalam perbualan yang menjurus kepada elemen gosip tidak selalunya negatif. Ada yang bergosip mengenai tepatnya seseorang memilih pasangan kekasih, mengenai kerjaya atau apa saja perkara menarik yang dilakukan individu terbabit.
Perkara utama dalam gosip lazimnya membabitkan lebih daripada berkongsi cerita dan maklumat mengenai kehidupan atau hubungan seseorang. Ini diperkuatkan dengan elemen ekspresi, pendapat atau perasaan mengenai cerita atau maklumat berkenaan. Pendapat atau perasaan ini mungkin tersirat atau disampaikan secara halus.
Gosip juga tidak semestinya membabitkan apa yang dilakukan pihak ketiga saja. Gosip juga boleh membabitkan hal si tukang gosip yang mungkin menarik untuk diperbincangkan. Cerita peribadi tukang gosip inilah yang lazim berkembang kepada gosip lain.
Subjek paling kerap dijadikan bahan gosip pastinya selebriti dan individu dikenali ramai. Lihat saja bagaimana rancaknya sebaran gosip mengenai perkembangan peribadi selebriti dalam industri hiburan. Apa saja berita atau perkara yang dilakukan mereka, tidak kira sudah disahkan benar ataupun tidak akan mengundang minat masyarakat untuk diperbualkan.
Perbuatan gosip cenderung dikaitkan dengan wanita. Namun, kajian yang dilakukan sebelum ini mendapati, lelaki juga bergosip cuma tempoh masa yang diluangkan dikatakan berbeza sedikit berbanding wanita.
Lelaki dan wanita dikatakan meluangkan tempoh masa yang hampir sama dalam membicarakan soal hubungan peribadi. Manakala bagi cerita membabitkan sukan popular seperti bola sepak, lelaki lebih banyak meluangkan masa membicarakannya.
Lelaki dikatakan cenderung membicarakan subjek penting seperti politik, kerja, seni, hal akademik berbanding wanita. Namun, keadaan ini berubah jika perbualan itu turut membabitkan wakil wanita.
Apabila berada dalam kumpulan jantina sama. lelaki akan berbicara atau bergosip mengenai perkara yang disifatkan penting itu tadi. Namun, jika perbualan itu disertai wanita, sesetengah lelaki cenderung berbual mengenai topik yang lebih sensasi dan menarik.
Lelaki juga menghabiskan lebih banyak masa memperkatakan perihal diri sendiri. Lelaki juga dilihat meluangkan dua pertiga perbualan kepada perhubungan sendiri sedangkan wanita, hanya satu pertiga saja perbualan mereka membabitkan diri sendiri.
Apabila ditanya tabiat bergosip lelaki dan wanita, ramai lelaki menafikan mereka suka bergosip. Kebanyakan wanita pula mengakui mereka terjebak dengan tabiat ini.
Bagaimanapun, jika dinilai lebih mendalam, lelaki dan wanita masing-masing terbabit dalam perlakuan ini. Cuma apa yang dipanggil gosip di kalangan wanita, didefinisikan pula sebagai ‘pertukaran maklumat’ bagi lelaki. Mungkin golongan lelaki tidak suka perbuatan bertukar maklumat mereka itu dilabel sebagai gosip, seolah-olah tidak ada kerja yang lebih baik hendak dilakukan.
Pakar motivasi, Prof Izzudin Ali, ketika ditanya isu lelaki dan gosip mengulas, rata-rata lelaki lebih berminat berborak dan mendengar cerita lebih serius seperti politik, ekonomi dan kerjaya. Ini mungkin dipengaruhi tanggungjawab yang dipikul mereka. Berbeza dengan wanita yang boleh berbual mengenai apa saja yang mengikut pertimbangan mereka, menarik untuk dibicarakan.
Prof Izzudin menambah, keadaan berbeza bagi lelaki mungkin disebabkan sifat mereka lelaki yang tidak begitu berminat berkongsi pendapat peribadi mereka mengenai sesuatu perkara.
“Subjek yang selalunya menarik minat lelaki apabila berada bersama rakan adalah cerita politik atau isu yang ada kaitan dengan diri mereka sendiri.
“Jika tiada kaitan, mereka hanya akan berbual mengenainya ala kadar saja,” katanya
Ditanya sama ada lelaki suka atau tidak pada wanita yang mempunyai tabiat suka bergosip, Prof Izzudin berkata, rata-rata lelaki kurang berminat dengan wanita yang suka bergosip kerana perbuatan ini bukan hanya tidak bermanfaat malah mengundang padah.
Subscribe to:
Posts (Atom)