Wednesday, August 19, 2009

Manfaat berjalan kaki


Senaman melangkah laju beri kesan kesihatan serta kecantikan


RAMAI wanita yang beranggapan senaman di gimnasium saja sudah memadai untuk mendapatkan badan yang sihat serta cergas. Tanggapan sedemikian menenggelamkan satu lagi amalan senaman yang bukan saja mudah dibuat, tetapi tidak membabitkan sebarang kos.


Inilah keistimewaan aktiviti atau senaman berjalan kaki laju yang memberi lebih banyak manfaat kepada kesihatan dan kecantikan berbanding berjalan kaki secara santai.


Ini bukan sekadar andaian, tetapi terbukti menerusi beberapa kajian termasuk kajian di Belanda membabitkan 5,209 responden dalam tempoh 46 tahun. Hasil kajian yang disiarkan Archives of Internal Medicine mendakwa amalan berjalan kaki 30 minit sehari, dapat menambah kira-kira 1.3 tahun kepada hayat seseorang.


Malah, amalan berjalan kaki laju itu mempunyai sembilan manfaat iaitu:


♦ Berat badan stabil

Amalan berjalan kaki laju juga meningkatkan metabolisma tubuh. Selain sejumlah kalori terbuang, lebih banyak lagi kalori akan terbakar apabila metabolisma tubuh meningkat sehingga peningkatan berat badan sukar berlaku.


♦ Menurunkan berat badan

Selain mampu menstabilkan berat badan, mereka yang mengalami pertambahan berat badan disarankan supaya melakukan senaman berjalan kaki laju secara rutin.


♦ Risiko elak serangan jantung

Seperti yang kita semua tahu, otot jantung memerlukan aliran darah lebih deras supaya ia sentiasa berfungsi dengan normal. Justeru, berjalan kaki laju mempercepatkan aliran darah ke dalam koroner jantung.


Selain itu, kelenturan pembuluh darah menguncup dan mengembang ketika berjalan laju juga cenderung menyebabkan tekanan darah menjadi lebih rendah selain dapat mengurangkan risiko berlakunya darah beku di pembuluh darah ke jantung.


♦ Angin ahmar atau strok

Walaupun masih tiada bukti kukuh mampu mengaitkan senaman berjalan kaki laju dengan strok namun kajian dilakukan terhadap 70,000 pesakit di Sekolah Kesihatan Awam Harvard, Amerika Syarikat, yang sering berjalan kaki iaitu purata 20 jam seminggu, risiko mereka diserang strok menurun sebanyak 2 daripada 3 kes.


♦ Mencegah kencing manis

Dengan membiasakan berjalan kaki laju sekitar 6 kilometer sejam dipercayai mampu mencegah masalah diabetes Tahap 2 terutama di kalangan individu bertubuh gempal. (Sumber: Institut Diabetes dan Masalah Hati Kebangsaan).


Gula di dalam darah juga dapat dikawal dengan cara berjalan kaki (brisk walking), justeru ubat tidak diperlukan. Ia bermakna, berjalan kaki laju sama manfaatnya dengan mengambil ubat anti diabetes.


♦ Mencegah osteoporosis

Pergerakan badan yang aktif dan berjalan kaki laju boleh memperkuatkan otot badan serta tulang. Individu yang sering melakukan senaman dan cukup sumber kalsium di dalam badan boleh terhindar daripada ancaman kereputan tulang sehingga usia 70 tahun.


♦ Meredakan sakit lutut

Lebih sepertiga mereka yang lanjut usia di Amerika Syarikat mengalami masalah sakit lutut atau osteoarthiris. Dengan membiasakan diri berjalan laju atau berjalan di dalam kolam renang mampu meredakan masalah itu.


Bagaimanapun, untuk penghidap osteoarthiris, mereka disarankan melakukan senaman berjalan kaki berselang-seli supaya sendi tidak terjejas.


♦ Tekanan

Pergerakan badan terjadi ketika berjalan kaki laju juga sebenarnya dapat membantu pesakit yang mengalami tekanan perasaan. Berjalan kaki laju dapat menggantikan ubat anti tekanan yang harus diambil secara rutin. Kajian terhadap kaitan antara masalah tekanan perasaan dan berjalan kaki sudah dilakukan sejak 10 tahun lalu.


♦ Kanser

Pembunuh nombor satu ini dikatakan mampu dijauhkan jika anda rajin berjalan kaki, setidak-tidaknya kanser usus besar. Seperti yang anda semua maklum, pergerakan badan membantu melancarkan penghadaman usus. Kajian juga ada menyebut mengenai peranan berjalan kaki di dalam mengurangkan risiko terkena kanser payudara.


Tip jalan laju


♦ Pilih kasut yang dapat lindungi dan jadikan kaki selesa

♦ Lokasi sesuai seperti tempat atau padang rata

♦ Langkah betul - Buat langkah sebesar mungkin bagi pergerakan lebih laju

♦ Gerakkan lengan ketika berjalan

♦ Sematkan dalam minda yang anda sedang mengejar sesuatu

♦ Tingkatkan kelajuan langkah serta tempoh senaman

Wednesday, August 12, 2009

Bersedia beri Komitmen


WALAUPUN bertahun lamanya menjalinkan hubungan cinta, namun si dia masih tidak menunjukkan sebarang perubahan dalam perhubungan.


Bukan hendak mendesak supaya memutuskan hubungan tetapi menyuruhnya membuat persediaan awal sebelum melangkah ke gerbang perkahwinan.


Sekiranya anda berdepan dengan masalah sebegini, apakah cara terbaik untuk si dia memberikan komitmen?


♥ Cintai diri sendiri
Sekiranya anda belum berasa selesa dengan keadaan diri sendiri, jangan mengharapkan orang lain mencintai anda seperti anda menyintai dirinya.


Manfaatkan waktu terluang dengan melakukan hobi yang digemari atau meneroka setiap aspek spiritual, supaya diri anda sentiasa diisi dengan perkara-perkara yang positif.


♥ Ekspresi cinta tanpa syarat
Sesekali apa salahnya anda memberikan kejutan kecil seperti menyediakan sajian kegemarannya atau menghadiahkan sesuatu yang lebih istimewa. Yang penting, dia mengetahui bahawa anda tidak keberatan atau susah-payah melakukan semuanya itu semata-mata untuk dirinya.


♥ Tidak perlu bersandiwara
Menurut penulis buku Mars and Venus on a Date, John Gray, ciri-ciri yang perlu ada dalam hubungan cinta ialah kedua-dua belah pihak seharusnya mengetahui peranan masing-masing.


Ini bermakna, singkirkan sikap dan prasangka buruk yang boleh merosakkan perhubungan selama ini. Misalnya, suka membesar-besarkan masalah, merajuk tanpa sebab yang munasabah serta bersikap cemburu sekiranya ada wanita cuba berdampingan dengannya.


♥ Berikan masa
Berbanding wanita, kaum Adam akan berfikir lebih jauh sebelum memutuskan untuk memberi komitmen kepada pasangannya.


Tidak dinafikan, memang ada lelaki yang memutuskan lebih awal untuk mendirikan rumah tangga. Tetapi itu sekadar impian dan bukannya realiti.


♥ Bicara dengannya
Jika anda perlu berbicara dengannya, pertimbangkan dengan matang setiap pendekatan yang akan anda lakukan itu. Hindari sikap ungkit-mengungkit masalah berkaitan masa depan dengan ucapan yang serius atau bernada tinggi.


Sebaliknya, lebih menguntungkan apabila anda mampu menunjukkan sikap positif dan santai.


♥ Tarik diri
Anda telah melakukan pelbagai pendekatan, namun si dia masih enggan memberi komitmen. Mungkin sudah tiba masanya anda memberikan ruang untuknya berfikir. Rencanakan perjalanan anda seorang diri selama beberapa hari. Sepanjang berjauhan dengannya, dia akan menyedari rasa kehilangan dan merasakan hidupnya tidak lengkap tanpa kehadiran anda.

Monday, August 10, 2009

ISYARAT ' ANGKAT KAKI '.

SUKAR bagi salah seorang pasangan kekasih melafazkan kata putus tanpa sebab yang munasabah. Lebih-lebih lagi, ikatan cinta yang dijalin itu sudah bertahun-tahun lamanya.

Takut sekiranya hati pasangan terguris akibat panahan kata-kata yang terkeluar dari mulut anda, maka anda mula melakukan pelbagai perkara yang menjadi isyarat untuk mengucapkan selamat tinggal kepada pasangan.

Seandainya anda bijak dan mula menghidu tanda-tanda si dia ingin membebaskan dirinya daripada anda, apa yang perlu anda lakukan adalah bersiap sedia menghadapi saat keperitan itu. Isyarat itu juga boleh digunakan untuk 'merawat' hubungan daripada terus putus.

Perhatikan tanda-tanda yang si dia mula mencari punca pertengkaran sehingga menjadi alasan untuknya memutuskan ikatan cinta atau mencari pelbagai kesalahan untuk menyatakan bahawa anda tidak lagi serasi.

Berikut adalah lima isyarat utama yang menandakan si dia tidak lagi berminat untuk meneruskan hubungan cintanya walaupun anda sukar menerima kenyataan sebenar.

♥ 1 Sentiasa timbul masalah
~ CINTA sejati tidak bermakna anda harus akur dengan setiap kata-katanya pada setiap masa. Konflik yang berlaku secara kecil-kecilan sebenarnya baik untuk perhubungan.

Namun, jika pasangan menjadi sangat sensitif dengan masalah-masalah kecil, misalnya tentang pemilihan pakaian, tempat makan ataupun cara percakapan anda, mungkin itulah tanda-tanda awal bahawa si dia sedang mencari alasan untuk keluar daripada hubungan kamu berdua.

♥ 2 Kurang berhubung
~ SEBELUM ini, si dia tidak pernah gagal menelefon anda pada setiap saat semata-mata untuk bertanyakan khabar atau hanya ingin mengucapkan 'aku rindu kamu'. Tetapi kini, deringan telefon daripadanya tidak lagi kedengaran, bahkan tiga jam sekali barulah anda menerima mesej yang pendek daripadanya.

Jika si dia tidak lagi melakukan tindakan yang biasa dilakukannya sebelum ini, itu tandanya si dia sedang berusaha menjauhkan diri dari anda.

♥ 3 Penampilan tidak seperti biasa
~ DENGAN tiba-tiba, si dia mengubah cara penampilannya. Mungkin si dia ingin mencari sesuatu yang baru dalam hidupnya tetapi itu membuatkan anda tertanya-tanya apakah punca sebenar perubahan dirinya itu.

Jika si dia mengubah penampilan diri dengan melakukan satu perkara yang tidak pernah dilakukannya sebelum ini, mungkin dia sedang berfikir untuk memutuskan hubungan kerana ada wanita lain dalam hidupnya.

♥ 4 Mengkritik
~ JIKA si dia tidak lagi mempunyai perasaan terhadap anda, jangan terkejut sekiranya dia kurang bertoleransi atau sentiasa mencari kesalahan diri anda. Daripada cara anda bergaul, makan sehinggalah bau minyak wangi, ada sahaja hal yang tidak kena. Si dia sentiasa mengkritik segala perkara yang anda lakukan. Itu sudah jelas menunjukkan bahawa si dia semakin kurang berminat untuk meneruskan hubungan cinta dengan anda lagi.

♥ 5 Hilang kemesraan
~ JIKA kemesraannya semakin luntur terhadap anda, kemungkinan besar si dia tidak lagi tertarik dengan anda atau sudah bosan dengan anda. Si dia juga akan mencari alasan untuk tidak mahu berjumpa anda. Cuba fikirkan cara lain untuk membuatkan si dia kembali bersemangat dengan cinta anda. Misalnya, melakukan perkara yang si dia minati bersama.

Besar kemungkinan, tanda-tanda ini tidak selalunya menunjukkan 'isyarat pasti' bahawa si dia ingin memutuskan hubungan. Namun, kadangkala kombinasi tanda-tanda inilah yang akan membuatkan si dia benar-benar ingin memutuskan hubungan cinta dengan anda. Untuk memastikannya, jangan panik dan bincang dari hati ke hati. Adakah hubungan ini masih boleh dipertahankan atau lebih baik berpisah? Sekiranya isyarat tersebut menunjukkan petanda bahawa hubungan boleh diperbaiki maka anda harus meneruskan perjuangan ke arah itu. Jangan putus asa.

sumber: kosmo! online

Tuesday, August 4, 2009

Keluarga: Hubungan yang Kekal Selamanya

Memperbaiki Hubungan Kekeluargaan

Keluarga merupakan sumber identiti dan kekuatan kita. Orang kata kamu boleh memilih rakan tetapi bukannya keluarga. Apabila kamu sedang membesar, mungkin kamu tak suka berada di rumah. Ibu bapa mungkin menyekat pergerakan dan adik-beradik yang lain sentiasa buat kamu geram. Kadang-kadang kamu rasa keseorangan dan tidak difahami. Hidup mungkin melemaskan. Tetapi, itukan keluarga dan kamu dan jika dilihat dalam banyak sudut lain, kamu bertuah kerana mempunyai mereka. Hubungan kekeluargaan yang indah, baik belaka itu tidak terjadi secara automatik. Ia memerlukan banyak komunikasi, kerjasama dan perasaan saling menghormati di kalangan ahli keluarga. Berikut merupakan beberapa tip bagaimana untuk merapatkan hubungan kekeluargaan:


♦ Cakap dan dengar. Komunikasi merupakan proses dua hala. Apabila sesorang itu bercakap, seorang yang lain mendengar dan tidak mencelah. Apabila kedua-dua pihak telah didengari, mereka boleh mula memberikan komen mengenai isu yang dibincangkan. Dalam berkomunikasi, banyak kesabaran dan hormat ditunjukkan pada individu tersebut. Ini dilakukan apabila mendengar tanpa perasaan berat sebelah atau menghakimi. Dalam sebuah keluarga, kekurangan komunikasi biasanya menyebabkan rasa marah dan salah faham. Mungkin tak mudah untuk berbicara dengan ahli keluargamu, tapi cubalah untuk melakukannya apabila terdapat kesempatan.


♦ Luangkan masa dengan keluarga kamu. Kamu mungkin sibuk di sekolah atau tempat kerja tapi meluangkan masa dengan keluarga selama sehari akan membuatkan kamu rasa lebih dekat dengan mereka. Luangkan masa dengan ibu ketika sedang memasak dan berbual dengan ayah mengenai sukan atau perniagaan semasa dia sedang menonton berita. Kamu dan adik beradik boleh meluangkan masa dengan keluar bersama. Jika kamu masih lagi bujang, luangkan masa sehari seminggu untuk kamu melakukan aktiviti bersama keluarga. Berjalan-jalan, berkelah ataupun menonton filem bersama-sama. Sekiranya kamu telah berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri, rancangkan hari keluarga sekurang-kurangnya sebulan sekali agar semua orang dapat meluangkan masa berkualiti bersama-sama.


♦ Menyokong satu sama lain. Ahli keluarga kita masih lagi seorang individu. Sebagai individu, mereka mempunyai impian tersendiri untuk dicapai. Mungkin ia tak sama dengan kamu, tapi cukup menyeronokkan bila mereka mengetahui yang kamu sentiasa menyokong dan mempercayai mereka. Berikan sokongan dan kata-kata semangat. Dengan sokongan kamu, ia akan menguatkan ikatan kekeluargaan.


♦ Memahami personaliti masing-masing. Dalam satu keluarga, terdapat bermacam-macam personaliti. Kita tak akan mengenali ibu bapa dan adik beradik sepenuhnya walau dah lama tinggal sebumbung. Memahami bagaimana ibu bapa dan adik beradik memberikan respons terhadap situasi tertentu boleh membantu kamu untuk berkomunikasi dengan mereka. Seorang adik mungkin lebih ceria dan mudah untuk meluahkan perasaannya manakala yang seorang lagi mungkin lebih sensitif dan gemar memendam rasa. Dengan mengetahui perkara begini, kamu akan lebih memahami ahli keluarga kamu terutamanya dalam situasi-situasi yang kritikal.


♦ Jangan mudah terasa. Kamu mungkin rasa sedih bila ibu bapa menggunakan perkataan kasar terhadapmu. Kamu juga mungkin merasakan yang mereka tidak lagi sayang padamu. Jangan begitu. Sebagai ibu bapa, sudah tentu mereka mahukan hanya yang terbaik buat kamu jadi janganlah berdendam dan elakkan menyakiti hati mereka.

Wednesday, July 29, 2009

Saat Menilai Cinta




SETIAP kali menjelang tahun baru, melakukan resolusi mengenai karier, hal kewangan dan cinta sememangnya menjadi rutin bagi setiap orang.



Bagi pasangan yang sedang bercinta, kenangan yang dilalui sepanjang tahun lalu mungkin lebih mematangkan fikiran. Apatah lagi bagi pasangan yang pernah gagal dalam percintaan.


Mereka menganggap tahun yang dilalui umpama suatu pengajaran yang membawa ke arah kehidupan yang lebih bermakna.



Menyentuh soal cinta, jangan pula anda lupa melakukan perubahan kepada diri dengan meletakkan keazaman yang tinggi dalam hal-hal melibatkan dunia percintaan.



Ikuti tip-tip yang disenaraikan di bawah:



1. Lupakan masa lalu
~ Anda bukanlah insan yang pernah dikhianati, dibenci mahupun ditinggalkan menjelang hari pernikahan. Setiap perkara yang dilalui sepanjang kehidupan lalu harus dijadikan pengajaran. Tetapi, jangan biarkan pengalaman buruk anda pada masa lampau mempengaruhi hubungan yang sedang terjalin.



~ Jangan biarkan hal-hal positif dan menyenangkan anda dengan pasangan bertukar gara-gara terlalu asyik membuat perbandingan dari tahun ke tahun. Ibaratkan hubungan yang baru dijalinkan itu seperti kertas putih yang siap dicorak.





2. Temui ramai orang



~ Bekerja di bawah satu bumbung yang sama atau tinggal berhampiran dengan kediaman anda tidak bermakna dapat membantu anda menemui calon kekasih yang berpotensi, kecuali seorang teman yang sudah lama dikenali. Jalinkan hubungan cinta dengan seorang teman yang boleh membawa anda ke arah dunia persahabatan yang lebih bermakna.



~ Keluarlah dari zon selesa anda. Sekiranya selama ini anda kerap ke pusat gimnasium selepas pulang dari tempat kerja, namun pada tahun ini, bangunlah pada awal pagi dan lakukan rutin harian dengan melaksanakan segala tugasan yang lebih menyihatkan. Lebih berkesan, ikuti kursus atau motivasi yang melibatkan pesertanya terdiri di kalangan lelaki dan wanita.





3. Ubah penampilan



~ Sudah tiba masanya anda meninggalkan gaya penampilan lama. Tidak salah sekiranya anda mengeluarkan wang yang lebih semata-mata untuk mengubah stail rambut terkini. Kunjungi salon dan bawalah contoh model rambut daripada majalah sekiranya perlu mendapat keterangan.



~ Demikian pula dalam hal berkaitan pakaian dan aksesori. Pilih baju berwarna cerah dan bermotifkan corak yang menarik agar anda kelihatan menonjol pada setiap masa.





4. Jangan terburu-buru



~ Menemui cinta baru mungkin mendatangkan kesan positif. Tetapi, jangan pula anda terus membawanya berjumpa dengan seluruh ahli keluarga. Tunggulah sehingga waktu yang tepat dan jangan sesekali merosakkan hubungan yang baru dibina itu. Hindari berbicara tentang masa depan saat hubungan baru berumur setahun jagung. Nikmatilah waktu perkenalan ini untuk memantapkan hati anda dan pasangan.





5. Jangan terlalu memilih



~ Setiap orang pasti ada kekurangannya, jadi apabila anda begitu obses akan kekurangan pasangan, mungkin anda sukar untuk menemui cinta baru. Sekurang-kurangnya selidik dulu kelebihan yang ada pada dirinya.





6. Buat keputusan



~ Cinta kerana paksaan akan membawa duka pada kemudian hari. Jangan takut untuk meluahkan apa yang terpendam kerana ia boleh mendatangkan kesan buruk dalam perhubungan. Oleh itu, lakukan keputusan yang berpihak kepada diri dan jangan takut katakan 'tidak'.
sumber dari kosmo! online

Friday, July 17, 2009

Rahsia Tapak Tangan Lelaki


Gusar dengan sikap mahupun identiti diri si dia yg ditemui beberapa hari lalu? Atau masih mencari kebenaran dalam perhubungan yg baru terjalin? Itu antara masalah yg melanda segelintir kaum wanita hari ini.

Tidak perlu bersusah payah untuk mengorek rahsia dirinya dengan memaksa si dia berterus terang setiap tindakannya. Cuba amati rahsia telapak tangannya secara diam².

Menurut pakar palmistry (membaca garis tangan) dan penulis buku Read His Hands, Know His Heart,Marion Gale, dengan hanya melihat telapak tangan lelaki, seseorang boleh mengetahui rahsia hati seorang lelaki.

" Jika ingin mengetahui karakter lelaki sebelum kamu menjalinkan hubungan serius, terokalah telapak tangan kanannya," ujar Gale.

♦ Earth Hand
~ Sekiranya si dia mempunyai telapak tangan dengan bahagian tengahnya berbentuk bujur, dengan ukuran jari-jemari yg pendek, ini membawa erti si dia tergolong dalam kumpulan earth hand.

Lelaki ini kebiasaannya bersifat konservatif. Ia juga mempunyai pemikiran yang tinggi dan kestabilan dalam hidup.

Jika kamu berjaya menemui lelaki earth hand di tengah² kota metropolitan, kemungkinan besar mereka memiliki rumah yg besar dengan halaman yang cukup luas untuk menyalurkan hobinya dalam aktiviti berkebun. Dia juga seorang lelaki yang gemar memasak dan bijak menyediakan sesuatu hidangan.


♦ Water Hand
~ Telapak tangan berbentuk segi panjang, dengan saiz jarinya berukuran panjang. Lelaki ini tergolong sebagai lelaki yang baik hati, sabar dan gemar menelaah bahan² bacaan.

Bahkan dia amat cenderung dengan panggilan ulat buku. Lelaki water hand juga mempunyai keperibadian yg tenang.

Kamu lebih banyak menemui mereka di acara² kebudayaan daripada bersosial di kelab² malam atau bar.


♦ Air Hand
~ Lelaki air hand memiliki telapak tangan berbentuk bujur tetapi dengan jari² tangan yang panjang. Lelaki jenis ini mudah mempelajari hal² yg baru dan berwawasan dengan melakukan aktiviti mengembara ke kota atau negara lain.

Disebabkan dia mempunyai hobi yang ekstrem, lelaki ini sangat teratur dalam setiap perjalanan hidupnya.

Dia juga senang mendalami hobi baru. Hanya dengan sebuah perbualan yang bijak, lelaki ini mudah tertarik kepada kamu.


♦ Fire Hand
~ Lelaki dengan telapak tangan berbentuk segi panjang dengan jari² tangan pendek, kebiasaanya cepat berasa gelisah apabila duduk dalam suatu jangka masa yang lama.

Dia sangat meyukai perkara² berbaur tentangan, sehingga tenaga lelakinya akan disalurkan.

Meskipun begitu, si fire hand ini sebenarnya berkeperibadian tinggi dan seorang yang mudah bergaul. Tidak hairanlah, kalau dia mempunyai ramai teman yang begitu mengambil berat terhadapnya.

Sekiranya kamu tidak bersikap bossy terhadapnya, dia pasti akan 'menenggelamkan' dirinya dalam hubungan yang penuh keterujaan bersama kamu.








Wednesday, July 15, 2009

Tips Mengurangkan Berat Badan

1~ Elakkan penurunan berat badan dengan cepat


Apabila berat badan anda berkurangan dgn cepat, kebiasaannya badan anda hanya kehilangan glikogen (karbohidrat) dan air, bukannya lemak. Badan anda akan menghantar isyarat ke otak yg anda sedang kebuluran dan mengurangkan kadar metabolik, sekaligus melambatkan badan membakar kalori.


2 ~Gantikan makanan,bukannya elakkan terus.



Cuba gantikan makanan kegemaran anda yg tinggi lemak, gula atau garam dgn yang kurang lemak, gula atau garam. Sebagai contoh, gantikan Coke biasa dgn Diet Coke yang kurang gula, susu lemak tinggi dengan susu kurang lemak. Penukaran sebegini tidak akan menjejaskan keinginan utk makan makanan kegemaran anda secara drastik walaupun pengambilan kalori telah berkurangan.


3 ~ Minum banyak air



Banyakkan minum air putih dan air soya untuk menggantikan air bergas. Air bergas boleh menambahkan kalori anda sebanyak 360 kJ sehari.


4 ~Banyakkan pergerakan



Banyakkan bergerak dan bersenam akan membakar kalori anda yg berlebihan. Banyak cara untuk anda bersenam termasuklah dengan jogging, pergi ke gim dan sebagainya. Anda juga boleh selitkan aktiviti fizikal dalam kehidupan harian anda dengan berbasikal ke tempat kerja, menggantikan lif dengan menaiki tangga, berjalan ke kedai makan atau pun membuat sit-up sambil menonton TV.



Pakar kesihatan menyarankan anda bersenam 30-45 minit 3-5 kali seminggu. Mungkin agak sukar untuk anda memulakan senaman sehingga 45 minit sehari. Apa kata mulakan dengan 10 minit, 3 kali sehari supaya anda tidak terlalu memaksa diri anda dan yg paling penting, disiplinkan diri untuk melakukannya setiap hari. Bagi para ibu, jangan jadikan sibuk sebagai alasan anda, tetapi cuba cari masa walau pun sebelum tidur untuk melakukan aktiviti fizikal.


5 ~ Mulakan sedikit demi sedikit



Mulakan program penurunan berat badan anda dengan perubahan sedikit demi sedikit dan bukannya secara drastik. Kurangkan sedikit demi sedikit pengambilan makanan tinggi kalori dan gantikan dengan makanan yang berkhasiat. Gantikan minuman manis dengan air putih. Perubahan kecil kebiasaannya akan lebih berkekalan berbanding perubahan yang drastic.


6 ~ Jangan terlebih makan



Pernah dengar ke sunah Rasulullah S.A.W. yang mengunyah perlahan-lahan dan berhenti makan sebelum kenyang? Cuba amalkan dan anda akan melihat perubahannya. Makan sedikit tetapi kerap.




7 ~ Jangan sekat makanan tinggi kalori sepenuhnya



Anda berazam untuk tidak akan menyentuh makanan berlemak lagi! Jangan buat begitu kerana badan anda masih memerlukan lemak tetapi dalam sukatan yang betul dan bukannya berlebihan. Cuba seimbangkan makanan anda dengan sesuatu yang berkhasiat.




8 ~Kesan jangka masa panjang



Diet singkat dan rutin senaman yang tidak tetap biasanya tidak akan berkekalan. Rancang program penurunan berat badan secara realistik yang mampu anda turuti dan bukan secara drastik. Rekodkan segala perubahan menu, aktiviti fizikal dan apa jua yang anda rasakan berubah termasuk fizikal, emosi dan tahap kesihatan anda. Pastikan program anda bersesuaian untuk jangka masa panjang dan bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam!


9 ~ Fokus pada sihat, bukannya kurus



Kebanyakan individu yang berjaya mengurangkan berat badan dalam jangka masa panjang akan mengubah objektifnya daripada ingin menjadi kurus kepada ingin menjadi sihat. Tetapkan pemikiran anda dengan memilih makanan yang boleh memberikan nutrient dan khasiat yang optima kepada badan anda. Untuk panduan, rujuk piramid makanan!




10 ~Atasi tekanan emosi



Emosi yang bercelaru dan tidak stabil boleh menyebabkan anda teruja untuk makan. Cari cara lain untuk mengatasinya dengan meluahkan masalah kepada orang yang rapat dengan anda atau kaunselor. Lakukan juga aktiviti yang boleh menggembirakan anda supaya tekanan anda diatasi.




11 ~Motivasi



Sokongan dan motivasi merupakan salah satu daripada kunci utama dalam proses untuk menurunkan berat badan. Dapatkan sokongan daripada orang tersayang dan dapatkan nasihat pakar dietitik supaya anda melakukan program diet yang betul dan penuh semangat!