Wednesday, August 19, 2009

Manfaat berjalan kaki


Senaman melangkah laju beri kesan kesihatan serta kecantikan


RAMAI wanita yang beranggapan senaman di gimnasium saja sudah memadai untuk mendapatkan badan yang sihat serta cergas. Tanggapan sedemikian menenggelamkan satu lagi amalan senaman yang bukan saja mudah dibuat, tetapi tidak membabitkan sebarang kos.


Inilah keistimewaan aktiviti atau senaman berjalan kaki laju yang memberi lebih banyak manfaat kepada kesihatan dan kecantikan berbanding berjalan kaki secara santai.


Ini bukan sekadar andaian, tetapi terbukti menerusi beberapa kajian termasuk kajian di Belanda membabitkan 5,209 responden dalam tempoh 46 tahun. Hasil kajian yang disiarkan Archives of Internal Medicine mendakwa amalan berjalan kaki 30 minit sehari, dapat menambah kira-kira 1.3 tahun kepada hayat seseorang.


Malah, amalan berjalan kaki laju itu mempunyai sembilan manfaat iaitu:


Berat badan stabil

Amalan berjalan kaki laju juga meningkatkan metabolisma tubuh. Selain sejumlah kalori terbuang, lebih banyak lagi kalori akan terbakar apabila metabolisma tubuh meningkat sehingga peningkatan berat badan sukar berlaku.


♦ Menurunkan berat badan

Selain mampu menstabilkan berat badan, mereka yang mengalami pertambahan berat badan disarankan supaya melakukan senaman berjalan kaki laju secara rutin.


♦ Risiko elak serangan jantung

Seperti yang kita semua tahu, otot jantung memerlukan aliran darah lebih deras supaya ia sentiasa berfungsi dengan normal. Justeru, berjalan kaki laju mempercepatkan aliran darah ke dalam koroner jantung.


Selain itu, kelenturan pembuluh darah menguncup dan mengembang ketika berjalan laju juga cenderung menyebabkan tekanan darah menjadi lebih rendah selain dapat mengurangkan risiko berlakunya darah beku di pembuluh darah ke jantung.


♦ Angin ahmar atau strok

Walaupun masih tiada bukti kukuh mampu mengaitkan senaman berjalan kaki laju dengan strok namun kajian dilakukan terhadap 70,000 pesakit di Sekolah Kesihatan Awam Harvard, Amerika Syarikat, yang sering berjalan kaki iaitu purata 20 jam seminggu, risiko mereka diserang strok menurun sebanyak 2 daripada 3 kes.


♦ Mencegah kencing manis

Dengan membiasakan berjalan kaki laju sekitar 6 kilometer sejam dipercayai mampu mencegah masalah diabetes Tahap 2 terutama di kalangan individu bertubuh gempal. (Sumber: Institut Diabetes dan Masalah Hati Kebangsaan).


Gula di dalam darah juga dapat dikawal dengan cara berjalan kaki (brisk walking), justeru ubat tidak diperlukan. Ia bermakna, berjalan kaki laju sama manfaatnya dengan mengambil ubat anti diabetes.


♦ Mencegah osteoporosis

Pergerakan badan yang aktif dan berjalan kaki laju boleh memperkuatkan otot badan serta tulang. Individu yang sering melakukan senaman dan cukup sumber kalsium di dalam badan boleh terhindar daripada ancaman kereputan tulang sehingga usia 70 tahun.


♦ Meredakan sakit lutut

Lebih sepertiga mereka yang lanjut usia di Amerika Syarikat mengalami masalah sakit lutut atau osteoarthiris. Dengan membiasakan diri berjalan laju atau berjalan di dalam kolam renang mampu meredakan masalah itu.


Bagaimanapun, untuk penghidap osteoarthiris, mereka disarankan melakukan senaman berjalan kaki berselang-seli supaya sendi tidak terjejas.


♦ Tekanan

Pergerakan badan terjadi ketika berjalan kaki laju juga sebenarnya dapat membantu pesakit yang mengalami tekanan perasaan. Berjalan kaki laju dapat menggantikan ubat anti tekanan yang harus diambil secara rutin. Kajian terhadap kaitan antara masalah tekanan perasaan dan berjalan kaki sudah dilakukan sejak 10 tahun lalu.


♦ Kanser

Pembunuh nombor satu ini dikatakan mampu dijauhkan jika anda rajin berjalan kaki, setidak-tidaknya kanser usus besar. Seperti yang anda semua maklum, pergerakan badan membantu melancarkan penghadaman usus. Kajian juga ada menyebut mengenai peranan berjalan kaki di dalam mengurangkan risiko terkena kanser payudara.


Tip jalan laju


♦ Pilih kasut yang dapat lindungi dan jadikan kaki selesa

♦ Lokasi sesuai seperti tempat atau padang rata

♦ Langkah betul - Buat langkah sebesar mungkin bagi pergerakan lebih laju

♦ Gerakkan lengan ketika berjalan

♦ Sematkan dalam minda yang anda sedang mengejar sesuatu

♦ Tingkatkan kelajuan langkah serta tempoh senaman

Wednesday, August 12, 2009

Bersedia beri Komitmen


WALAUPUN bertahun lamanya menjalinkan hubungan cinta, namun si dia masih tidak menunjukkan sebarang perubahan dalam perhubungan.


Bukan hendak mendesak supaya memutuskan hubungan tetapi menyuruhnya membuat persediaan awal sebelum melangkah ke gerbang perkahwinan.


Sekiranya anda berdepan dengan masalah sebegini, apakah cara terbaik untuk si dia memberikan komitmen?


♥ Cintai diri sendiri
Sekiranya anda belum berasa selesa dengan keadaan diri sendiri, jangan mengharapkan orang lain mencintai anda seperti anda menyintai dirinya.


Manfaatkan waktu terluang dengan melakukan hobi yang digemari atau meneroka setiap aspek spiritual, supaya diri anda sentiasa diisi dengan perkara-perkara yang positif.


♥ Ekspresi cinta tanpa syarat
Sesekali apa salahnya anda memberikan kejutan kecil seperti menyediakan sajian kegemarannya atau menghadiahkan sesuatu yang lebih istimewa. Yang penting, dia mengetahui bahawa anda tidak keberatan atau susah-payah melakukan semuanya itu semata-mata untuk dirinya.


♥ Tidak perlu bersandiwara
Menurut penulis buku Mars and Venus on a Date, John Gray, ciri-ciri yang perlu ada dalam hubungan cinta ialah kedua-dua belah pihak seharusnya mengetahui peranan masing-masing.


Ini bermakna, singkirkan sikap dan prasangka buruk yang boleh merosakkan perhubungan selama ini. Misalnya, suka membesar-besarkan masalah, merajuk tanpa sebab yang munasabah serta bersikap cemburu sekiranya ada wanita cuba berdampingan dengannya.


♥ Berikan masa
Berbanding wanita, kaum Adam akan berfikir lebih jauh sebelum memutuskan untuk memberi komitmen kepada pasangannya.


Tidak dinafikan, memang ada lelaki yang memutuskan lebih awal untuk mendirikan rumah tangga. Tetapi itu sekadar impian dan bukannya realiti.


♥ Bicara dengannya
Jika anda perlu berbicara dengannya, pertimbangkan dengan matang setiap pendekatan yang akan anda lakukan itu. Hindari sikap ungkit-mengungkit masalah berkaitan masa depan dengan ucapan yang serius atau bernada tinggi.


Sebaliknya, lebih menguntungkan apabila anda mampu menunjukkan sikap positif dan santai.


♥ Tarik diri
Anda telah melakukan pelbagai pendekatan, namun si dia masih enggan memberi komitmen. Mungkin sudah tiba masanya anda memberikan ruang untuknya berfikir. Rencanakan perjalanan anda seorang diri selama beberapa hari. Sepanjang berjauhan dengannya, dia akan menyedari rasa kehilangan dan merasakan hidupnya tidak lengkap tanpa kehadiran anda.

Monday, August 10, 2009

ISYARAT ' ANGKAT KAKI '.

SUKAR bagi salah seorang pasangan kekasih melafazkan kata putus tanpa sebab yang munasabah. Lebih-lebih lagi, ikatan cinta yang dijalin itu sudah bertahun-tahun lamanya.

Takut sekiranya hati pasangan terguris akibat panahan kata-kata yang terkeluar dari mulut anda, maka anda mula melakukan pelbagai perkara yang menjadi isyarat untuk mengucapkan selamat tinggal kepada pasangan.

Seandainya anda bijak dan mula menghidu tanda-tanda si dia ingin membebaskan dirinya daripada anda, apa yang perlu anda lakukan adalah bersiap sedia menghadapi saat keperitan itu. Isyarat itu juga boleh digunakan untuk 'merawat' hubungan daripada terus putus.

Perhatikan tanda-tanda yang si dia mula mencari punca pertengkaran sehingga menjadi alasan untuknya memutuskan ikatan cinta atau mencari pelbagai kesalahan untuk menyatakan bahawa anda tidak lagi serasi.

Berikut adalah lima isyarat utama yang menandakan si dia tidak lagi berminat untuk meneruskan hubungan cintanya walaupun anda sukar menerima kenyataan sebenar.

♥ 1 Sentiasa timbul masalah
~ CINTA sejati tidak bermakna anda harus akur dengan setiap kata-katanya pada setiap masa. Konflik yang berlaku secara kecil-kecilan sebenarnya baik untuk perhubungan.

Namun, jika pasangan menjadi sangat sensitif dengan masalah-masalah kecil, misalnya tentang pemilihan pakaian, tempat makan ataupun cara percakapan anda, mungkin itulah tanda-tanda awal bahawa si dia sedang mencari alasan untuk keluar daripada hubungan kamu berdua.

♥ 2 Kurang berhubung
~ SEBELUM ini, si dia tidak pernah gagal menelefon anda pada setiap saat semata-mata untuk bertanyakan khabar atau hanya ingin mengucapkan 'aku rindu kamu'. Tetapi kini, deringan telefon daripadanya tidak lagi kedengaran, bahkan tiga jam sekali barulah anda menerima mesej yang pendek daripadanya.

Jika si dia tidak lagi melakukan tindakan yang biasa dilakukannya sebelum ini, itu tandanya si dia sedang berusaha menjauhkan diri dari anda.

♥ 3 Penampilan tidak seperti biasa
~ DENGAN tiba-tiba, si dia mengubah cara penampilannya. Mungkin si dia ingin mencari sesuatu yang baru dalam hidupnya tetapi itu membuatkan anda tertanya-tanya apakah punca sebenar perubahan dirinya itu.

Jika si dia mengubah penampilan diri dengan melakukan satu perkara yang tidak pernah dilakukannya sebelum ini, mungkin dia sedang berfikir untuk memutuskan hubungan kerana ada wanita lain dalam hidupnya.

♥ 4 Mengkritik
~ JIKA si dia tidak lagi mempunyai perasaan terhadap anda, jangan terkejut sekiranya dia kurang bertoleransi atau sentiasa mencari kesalahan diri anda. Daripada cara anda bergaul, makan sehinggalah bau minyak wangi, ada sahaja hal yang tidak kena. Si dia sentiasa mengkritik segala perkara yang anda lakukan. Itu sudah jelas menunjukkan bahawa si dia semakin kurang berminat untuk meneruskan hubungan cinta dengan anda lagi.

♥ 5 Hilang kemesraan
~ JIKA kemesraannya semakin luntur terhadap anda, kemungkinan besar si dia tidak lagi tertarik dengan anda atau sudah bosan dengan anda. Si dia juga akan mencari alasan untuk tidak mahu berjumpa anda. Cuba fikirkan cara lain untuk membuatkan si dia kembali bersemangat dengan cinta anda. Misalnya, melakukan perkara yang si dia minati bersama.

Besar kemungkinan, tanda-tanda ini tidak selalunya menunjukkan 'isyarat pasti' bahawa si dia ingin memutuskan hubungan. Namun, kadangkala kombinasi tanda-tanda inilah yang akan membuatkan si dia benar-benar ingin memutuskan hubungan cinta dengan anda. Untuk memastikannya, jangan panik dan bincang dari hati ke hati. Adakah hubungan ini masih boleh dipertahankan atau lebih baik berpisah? Sekiranya isyarat tersebut menunjukkan petanda bahawa hubungan boleh diperbaiki maka anda harus meneruskan perjuangan ke arah itu. Jangan putus asa.

sumber: kosmo! online

Tuesday, August 4, 2009

Keluarga: Hubungan yang Kekal Selamanya

Memperbaiki Hubungan Kekeluargaan

Keluarga merupakan sumber identiti dan kekuatan kita. Orang kata kamu boleh memilih rakan tetapi bukannya keluarga. Apabila kamu sedang membesar, mungkin kamu tak suka berada di rumah. Ibu bapa mungkin menyekat pergerakan dan adik-beradik yang lain sentiasa buat kamu geram. Kadang-kadang kamu rasa keseorangan dan tidak difahami. Hidup mungkin melemaskan. Tetapi, itukan keluarga dan kamu dan jika dilihat dalam banyak sudut lain, kamu bertuah kerana mempunyai mereka. Hubungan kekeluargaan yang indah, baik belaka itu tidak terjadi secara automatik. Ia memerlukan banyak komunikasi, kerjasama dan perasaan saling menghormati di kalangan ahli keluarga. Berikut merupakan beberapa tip bagaimana untuk merapatkan hubungan kekeluargaan:


Cakap dan dengar. Komunikasi merupakan proses dua hala. Apabila sesorang itu bercakap, seorang yang lain mendengar dan tidak mencelah. Apabila kedua-dua pihak telah didengari, mereka boleh mula memberikan komen mengenai isu yang dibincangkan. Dalam berkomunikasi, banyak kesabaran dan hormat ditunjukkan pada individu tersebut. Ini dilakukan apabila mendengar tanpa perasaan berat sebelah atau menghakimi. Dalam sebuah keluarga, kekurangan komunikasi biasanya menyebabkan rasa marah dan salah faham. Mungkin tak mudah untuk berbicara dengan ahli keluargamu, tapi cubalah untuk melakukannya apabila terdapat kesempatan.


♦ Luangkan masa dengan keluarga kamu. Kamu mungkin sibuk di sekolah atau tempat kerja tapi meluangkan masa dengan keluarga selama sehari akan membuatkan kamu rasa lebih dekat dengan mereka. Luangkan masa dengan ibu ketika sedang memasak dan berbual dengan ayah mengenai sukan atau perniagaan semasa dia sedang menonton berita. Kamu dan adik beradik boleh meluangkan masa dengan keluar bersama. Jika kamu masih lagi bujang, luangkan masa sehari seminggu untuk kamu melakukan aktiviti bersama keluarga. Berjalan-jalan, berkelah ataupun menonton filem bersama-sama. Sekiranya kamu telah berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri, rancangkan hari keluarga sekurang-kurangnya sebulan sekali agar semua orang dapat meluangkan masa berkualiti bersama-sama.


♦ Menyokong satu sama lain. Ahli keluarga kita masih lagi seorang individu. Sebagai individu, mereka mempunyai impian tersendiri untuk dicapai. Mungkin ia tak sama dengan kamu, tapi cukup menyeronokkan bila mereka mengetahui yang kamu sentiasa menyokong dan mempercayai mereka. Berikan sokongan dan kata-kata semangat. Dengan sokongan kamu, ia akan menguatkan ikatan kekeluargaan.


♦ Memahami personaliti masing-masing. Dalam satu keluarga, terdapat bermacam-macam personaliti. Kita tak akan mengenali ibu bapa dan adik beradik sepenuhnya walau dah lama tinggal sebumbung. Memahami bagaimana ibu bapa dan adik beradik memberikan respons terhadap situasi tertentu boleh membantu kamu untuk berkomunikasi dengan mereka. Seorang adik mungkin lebih ceria dan mudah untuk meluahkan perasaannya manakala yang seorang lagi mungkin lebih sensitif dan gemar memendam rasa. Dengan mengetahui perkara begini, kamu akan lebih memahami ahli keluarga kamu terutamanya dalam situasi-situasi yang kritikal.


♦ Jangan mudah terasa. Kamu mungkin rasa sedih bila ibu bapa menggunakan perkataan kasar terhadapmu. Kamu juga mungkin merasakan yang mereka tidak lagi sayang padamu. Jangan begitu. Sebagai ibu bapa, sudah tentu mereka mahukan hanya yang terbaik buat kamu jadi janganlah berdendam dan elakkan menyakiti hati mereka.